Showing posts with label babi. Show all posts
Showing posts with label babi. Show all posts

29 July, 2010

Ingatkan kambing rupanya babi

Babi spesies Mangalitsa yang berasal dari Austria dan Hungaria. Diharap kita dapat berhati-hati sekiranya ada produk yang menggunakan sumber ini termasuk bulunya.




04 April, 2010

Penyelidik USM Temui Kaedah Beza Daging Ayam Dan Babi

PULAU PINANG, 1 April (Bernama) -- Sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) menemui kaedah untuk membezakan antara daging ayam dan daging babi dengan menggunakan sejenis campuran gula dinamakan 'ribose'.

Melalui kaedah itu, daging kedua-dua haiwan berkenaan akan bertukar kepada warna tertentu apabila bertindak balas dengan bahan tersebut.

Ketua Penyelidik USM Prof Azhar Mat Easa berkata proses ujian itu amat mudah dan boleh dilakukan di rumah jika mempunyai peralatannya.

"Seseorang hanya perlu secebis daging dan mencampurkannya dengan gula berkenaan dan campuran ini kemudian dipanaskan dalam suhu tertentu untuk menukarkan warnanya," katanya pada sidang akhbar di USM pada Khamis yang turut dihadiri penyelidik bersama, Tan Thuan Chew dan Dr Abbas F.M Alkarkhi.

Azhar, yang juga Timbalan Dekan Pusat Pengajian Siswazah dan Penyelidikan, berkata dengan menggunakan alat dikenali 'spectrophotometer', julat warna yang dihasilkan akan menentukan sama ada ia daging ayam atau daging babi.

Katanya hasil ujian berkenaan akan mendapati warna daging ayam akan bertukar gelap sedikit berbanding daging babi.

"Menerusi ujian berkenaan orang ramai khususnya pengguna Islam kini tidak perlu rasa was-was ingin menikmati daging ayam kerana keputusan akan diketahui dalam tempoh kurang dua jam untuk membezakannya dengan daging babi," katanya.

Azhar berkata kaedah baru itu telah difailkan untuk paten dan ia juga boleh dimanfaatkan bagi mengatasi keraguan terhadap tahap halal daging terutamanya kepada Industri Kecil dan Sederhana.

Katanya kaedah itu juga berguna untuk membezakan antara serbuk gelatin babi dan lembu serta boleh digunakan dalam industri makanan yang menggunakan daging serta industri daging beku.

Kos mesin spectrophotometer ialah sekitar RM25,000 manakala ribose berharga RM15 untuk setiap botol yang mengandungi sebanyak empat gram.

-- BERNAMA

02 April, 2010

Rokok ada sel darah babi





ROKOK bukan sahaja berbahaya tetapi kini timbul isu kandungan darah babi di dalamnya.
_____________________________________________________

KUALA LUMPUR - Seorang pakar akademik dari Australia semalam mendedahkan satu hasil kajian di Belanda baru-baru ini yang mendakwa menemui sel darah merah babi sebagai kandungan penyekat bahan kimia dalam puntung rokok.


Profesor Simon Chapman dari Universiti Sydney dilaporkan berkata, kajian itu mendapati babi digunakan dalam 185 jenis industri termasuk penemuan sel darah merah haiwan itu dalam penapis (filter) rokok.


Kenyataan beliau yang disiarkan oleh akhbar Daily Telegraph kelmarin menjelaskan, hasil kajian tersebut pastinya mengejutkan perokok yang beragama Islam serta Yahudi yang diharamkan memakan babi.


Menurutnya, setakat ini satu jenama rokok yang dijual di Greece telah didapati mengandungi darah babi.

03 November, 2009

30 Peratus Gelatin Kapsul Ubat Tidak Halal



PULAU PINANG, 2 Nov (Bernama) -- Kira-kira 30 peratus daripada 100 produk kesihatan yang diuji di makmal Pusat Pengajian Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia (USM) tidak halal kerana menggunakan gelatin kapsul ubat dari khinzir.

Dekan Pusat Pengajian berkenaan Prof Madya Dr Syed Azhar Syed Sulaiman berkata kesemua produk yang diuji sejak setahun lepas itu dihantar oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan dan pengeluar produk bagi mengenal pasti sumber gelatin yang mereka gunakan.

"Daripada 100 produk yang kita uji, sebanyak 30 peratus tidak halal dan menggunakan gelatin dari khinzir kerana ia lebih murah daripada gelatin lembu.

"Bagaimanapun ini bukanlah menggambarkan keseluruhan pasaran gelatin kapsul di Malaysia kerana ada pengeluar yang terlibat bertindak menukar gelatin yang mereka gunakan kepada yang halal seperti gelatin lembu selepas dimaklumkan perkara berkenaan," katanya selepas satu sidang akhbar di USM di sini pada Isnin.

Gelatin adalah suatu campuran protein diekstrak daripada kulit binatang.

Syed Azhar berkata produk kesihatan yang diuji tidak halal itu memang terdapat di pasaran dan ia dijual sejak beberapa tahun lepas.

"Ini yang kita bimbangkan kerana gelatin kapsulnya tidak halal dan produk berkenaan dikeluarkan sijil halal yang sah ekoran bahan utamanya halal," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap Kementerian Kesihatan mewajibkan pengeluar produk kesihatan menggunakan gelatin kapsul dari sumber yang halal.

Sementara itu, sekumpulan penyelidik USM yang diketuai Prof Madya Dr Gam Lay Harn berjaya menghasilkan kaedah yang pertama di Malaysia bagi mengenalpasti sumber bahan untuk gelatin kapsul ubat.

Dr Gam berkata dengan menggunakan teknik-teknik pengekstrakan dan pengasingan protein yang sesuai, pihaknya berjaya membangunkan satu kaedah pengenalpastian sumber gelatin sama ada daripada lembu atau khinzir," katanya.

Penyelidikan itu dibantu Zuraidah Mohd Zobir, Yap Beow Keat dan Lim Chu Ai.

Dr Gam berkata pada campuran yang mengandung 20 peratus gelatin khinzir atau lebih bagi setiap kapsul ubat, pihaknya 100 peratus yakin dapat mengesan kandungan gelatin tersebut.

Beliau menjangkakan kaedah yang telah memenangi beberapa anugerah di Malaysia dan luar negara itu mampu diterima diseluruh dunia terutama di negara-negara Islam kerana ia melibatkan produk halal dan haram.

-- BERNAMA