(*) sumber maklumat ini dipetik dari
blog On-D-Scene( seorang TV camera/journalist)
Hubungan baik saya dengan pegawai dan kakitangan Bahagian Penguatkuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia, telah membawa saya membongkar secara eksklusif banyak kes. Ketika menerima maklumat mengenai kes ini, saya andaikan mungkin ia adalah kes membabitkan pihak ketiga, dan bukannya seperti nama yang tertera. Akhirnya, kira-kira jam 11 pagi tadi, operasi dimulakan, targetnya, ialah sebuah rumah di Taman Berlian, Gombak.
Operasi diketuai Timbalan Pengarah Penguatkuasanya, Hj Wan hamid Hj Wan Ibrahim. Ia mengenai satu maklumat dari orang awam produk 'Penawar Sendi Tulang' - yang ujian makmal positif bahan racun steroid jenis
dexamethasone. Masalahnya, produk ini menggunakan nama seorang kanak-kanak yang digelar ikon kerana kepintarannya di dalam matematik dan amat terkenal di seluruh negara.
Ketika tiba di lokasi, kanak-kanak terbabit dan kedua-dua ibu bapanya tiada- mereka ke Kota Kinabalu difahamkan melakukan promosi produk keluaran mereka. Dipendekkan cerita, kami ditunjukkan sebuah rumah yang terletak di hadapan rumah kanak-kanak terbabit - sebuah rumah teres dua tingkat yang akhirnya didapati dijadikan sebagai kilang pengeluaran.
Penemuan ini tidak dijangka kerana mulanya dijangkakan hanyalah sebagai stor. Ye, rumah ini adalah kilang - dengan beberapa orang termasuk kanak-kanak membuat pembungkusan. Beribu-ribu botol plastik kosong, beribu-ribu botol produk yang telah siap dibungkus dan bahan mentah serta kawasan kecil yang menjadi 'makmal' memasukkan pil-pil ke dalam botol.