18 January, 2010

Ubat Pintar di rampas

(*) sumber maklumat ini dipetik dari blog On-D-Scene( seorang TV camera/journalist)

Hubungan baik saya dengan pegawai dan kakitangan Bahagian Penguatkuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia, telah membawa saya membongkar secara eksklusif banyak kes. Ketika menerima maklumat mengenai kes ini, saya andaikan mungkin ia adalah kes membabitkan pihak ketiga, dan bukannya seperti nama yang tertera. Akhirnya, kira-kira jam 11 pagi tadi, operasi dimulakan, targetnya, ialah sebuah rumah di Taman Berlian, Gombak.

Operasi diketuai Timbalan Pengarah Penguatkuasanya, Hj Wan hamid Hj Wan Ibrahim. Ia mengenai satu maklumat dari orang awam produk 'Penawar Sendi Tulang' - yang ujian makmal positif bahan racun steroid jenis dexamethasone. Masalahnya, produk ini menggunakan nama seorang kanak-kanak yang digelar ikon kerana kepintarannya di dalam matematik dan amat terkenal di seluruh negara.

Ketika tiba di lokasi, kanak-kanak terbabit dan kedua-dua ibu bapanya tiada- mereka ke Kota Kinabalu difahamkan melakukan promosi produk keluaran mereka. Dipendekkan cerita, kami ditunjukkan sebuah rumah yang terletak di hadapan rumah kanak-kanak terbabit - sebuah rumah teres dua tingkat yang akhirnya didapati dijadikan sebagai kilang pengeluaran.

Penemuan ini tidak dijangka kerana mulanya dijangkakan hanyalah sebagai stor. Ye, rumah ini adalah kilang - dengan beberapa orang termasuk kanak-kanak membuat pembungkusan. Beribu-ribu botol plastik kosong, beribu-ribu botol produk yang telah siap dibungkus dan bahan mentah serta kawasan kecil yang menjadi 'makmal' memasukkan pil-pil ke dalam botol.




Pil-pil yang diimpot dari Pakistan

Apabila ditanya kepada salah seorang pekerja, mereka mengakui, produk 'Penawar Sendi Tulang' diimport dari luar negara yang telah siap dibotolkan, dan mereka hanya menampal label dan sudah boleh dijual. Itu sahaja. Begitu mudah. Ubat yang telah diuji positif dexamethasone ini pula tidak didaftarkan dengan Kementerian Kesihatan. Semua terkedu kerana betapa mudah berniaga, lebih-lebih lagi ikon kanak-kanak terbabit telah dijadikan 'jaminan' keberkesanannya. 2,095 botol ubat ini dirampas.

Lagi pil-pil yang diimpot dari Pakistan

Dan, rampasan tidak terhenti di situ, malah penemuan berikutnya amat-amat memeranjatkan. Betapa ubat/ubat tradisional yang didakwa sebagai 'rumusan' kanak-kanak terbabit, sebenarnya tidak wujud. 6 produk terbabit yang dijual kepada tiga set setiap satu mengandungi 2 botol berlainan, bukanlah ramuan yang dirumus oleh ikon terbabit.

Yang ada ialah, ubat homoepathy yang diimport dari Pakistan. Pil-pil berwarna kuning ini kemudian diisikan ke dalam botol-botol kecil , yang mana, beberapa jenis darinya, sebenarnya adalah diisi dengan ubat yang sama dari botol yang diimpot itu. Tetapi ia dijual seolah-olah ia adalah ubat yang berlainan antara satu botol dengan botol yang lain. Harganya berbeza setiap kotak yang mengandungi 2 botol ubat - RM40, RM60 dan RM170 sekotak.

Yang pasti , semua ubat-ubat ini tidak pernah didaftarkan dengan Kementerian Kesihatan, malah kandungan ubat ini juga tidak diketahui apakah isinya, di mana ujian makmal akan dilakukan kemudian untuk mengetahuinya.

Di manakah dakwaan , bahawa ubat-ubatan ini adalah rumusan ikon kanak-kanak itu, dan apakah bezanya kepada pembeli jika sebenarnya, pil di dalam botol A, adalah sama dengan pil di dalam botol C dan botol E. Mudah, amat-amat mudah untuk berniaga. Dan semua produk mempunyai logo halal seolah-olah logo Halal Jakim, sedangkan tiada sebarang permohonan dibuat sebelum ini. Sejumlah 12,554 botol produk pelbagai jenis itu dirampas. Rampasan bernilai kira-kira RM600,000 dan siasatan dilakukan di bawah Akta Jualan Dadah 1952.

Dengan promosi yang begitu hebat sejak kebelakangan ini, ubat ini mendapat sambutan yang amat-amat menggalakkan. Sasaran utama ialah ibu-bapa yang - mahu anak mereka menjadi cerdik dan genius seperti ikon tersebut, dan sebagai penawar stress. Pelbagai janji ditawarkan jika memakan ubat dari Pakistan ini.

Khusus untuk mereka yang : lemah daya ingatan, degil,pelupa, kurang semangat,kurang tumpuan, pemalu, tekanan/stress, masalah jiwa/mental. Malah ia lengkap dengan pantang larang sekali.

Sekarang, terpulang kepada anda atau anak anda samada untuk meneruskan memakan ubat Pakistan ini, atau bagaimana? Entry ini tiada niat untuk menjatuhkan sesiapa apalagi untuk memburukkan . Ia sebagai tanggungjawab sosial saya kepada anda dengan izin Allah kerana memberi ruang kepada saya untuk mendedahkan sesuatu berpandukan fakta dan siasatan.

Dan, kini, saya telah tahu, bagaimanakah rumusan ajaib ini sebenarnya 'diproses'. Dan juga, senarai panjang sedang menunggu untuk membongkar banyak lagi kes-kes sebegini atau seumpamanya.

No comments:

Post a Comment